Khamis, Ogos 07, 2008

Susahnya Mencari Sahabat Setia...

Susahnya Mencari Sahabat Setia...

Sebagai manusia yang sempat panjang umur
Paling tidak 50 – 60 tahun, 70 tahun
Sepanjang umur itu sudah beberapa banyak dari kenalan dan kawan,
adakalanya silih berganti
Dari kawan sekampung, kawan sepersekolahan,
perkenalan di dalam perjalanan
Tidak kurang juga kenalan setempat kerja,
di hari-hari keramaian yang berbagai-bagai coraknya
Ditambah lagi di tempat-tempat lain
sekali-sekala bertemu dan berjumpa,
berpisah dan bertemu semula
Di dalam pengalaman itu kawan setia yang kekal
untuk dapat seorang pun susah hendak kekal
Sering berlaku kawan itu silih berganti,
sekejap-sekejap sahaja lepas itu tidak dengar berita
Hingga ke tua, tinggal seorang diri sahaja,
kenalan itu hanya di dalam kenangan nostalgia sahaja
Tinggal di dalam kenangan sejarah hidup sahaja
Ini membuktikan mencari sahabat yang setia
di dalam kehidupan ini
amat susah sekali
Hampir mustahil mendapat kawan setia seumur hidup
Untuk mendapatkan seorang sahaja pun
sampai ke hujung umur kita hampir mustahil berlaku
Aduh susahnya mencari sahabat di akhir zaman ini
Kerana masing-masing hati sudah gersang dari kasih sayang
Lantaran itulah mendapatkan sahabat yang setia jarang terjadi
Ia hanya berlaku setakat pertengahan jalan
Tidak sampai ke hujung jalan
sudah kehilangan kawan atau sahabat,
dapat yang baru nasib yang sama,
kemudian hilang lagi
Akhirnya mati di dalam kehilangan kawan, aduh malangnya
Moga-moga jangan sampai kita kehilangan Tuhan lebih malang lagi

Wal’iyazubillah

Dari Minda Abuya

Tiada ulasan: